Sejarah Persatuan

Sejarah Persatuan

Persatuan ini telah ditubuhkan pada tahun 1955 dan dikenali dengan nama “PERSATUAN BEKAS PASUKAN KESELAMATAN MALAYA” oleh beberapa orang yang sedar betapa perlunya sebuah pertubuhan ditubuhkan. Mereka itu adalah terdiri daripada beberapa orang yang pernah berkhidmat dalam Pasukan Polis, Tentera dan Anggota Sukarela yang pernah berjuang mempertahankan kedaulatan Negara.

Nama-nama seperti Encik Abdullah Saidi, Dato’Abu Bakar Baginda, Encik Abd.Rashid Abd.Manaf, Encik Mohd.Amin Mohd Ali, Dato’ Haji Ali Raya dan Tuan Haji Ahmad Razali Mohd.Ali, (sekarang Dato’) adalah orang-orang yang bertanggungjawab kepada pertubuhannya persatuan ini.

Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Malaya adalah yang tunggal yang pada ketika itu yang tinggal di merata-rata pelusuk Negara. Mereka adalah terdiri daripada Bekas Polis yang telah bersara dan Anggota Askar Melayu dan Bekas Sukarelawan yang pernah mempertahankan Kedaulatan Negara semasa Perang Dunia Kedua. Selepas tamat darurat dalam tahun 1960, perlembagaan persatuan ini dipinda dengan meluluskan Bekas-bekas Mata-mata Khas (S.C), Mata-mata Tambahan (E.P.C) Pembantu Polis (A.P) dan Home Guard (H.G) dan pindaan demi pindaan dibuat dari masa ke semasa hinggalah keanggotaan persatuan ini terdiri dari Bekas-bekas Anggota keselamatan dalam semua unit angkatan tentera, polis, Sukarelawan dan Sukarelawati.

Persatuan ini adalah terbuka kepada rakyat Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Pegawai bertauliah atau anggota di dalam mana-mana Pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udara, Bekas Mata-mata Khas, Mata-mata tambahan, Pembantu Polis, Polis Simpanan, Polis Hutan, Sukarelawan Polis, Bekas anggota yang dikerah dalam perkhimatan Polis semasa darurat, Home guard yang berkhidmat secara aktif, Pengawal kampung yang berkhidmat secara sukarela, Sarawak Rangers, Senoi Praq, Pasukan Timbalan Setia, Tentera Wataniah, Anggota Bertauliah dan biasa, Tentera British dan Komanvel (MOR), Sukarelawan dan Sukarelawati Anggatan Tentera, Tentera Tempatan (LDC), FMSVF, SSVF, Unfederated Malay State Volunteer Reserves semasa perang dunia kedua dan juga Relawan dan Relawati.

Tujuan asal penubuhan Persatuan ini adalah bertujuan mengumpul keseluruhan Bekas-belas Anggota Keselamatan Negara dan Pejuang-pejuang Tanah Air supaya berada dalam satu kumpulan demi kebajikan mereka dan juga untuk mengekalkan silaturrahim.

Persatuan ini juga ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib Bekas-bekas Anggota Pasukan Keselamatan yang tinggal berselerak di seluruh ceruk rantau tanah air. Adalah tidak wajar jika mereka dibiarkan hidup melata sepanjang hayat. Ini merupakan tanggungjawab kita bersama, kita tidak semestinya memaling muka dan mengundur diri dari memikul beban ini. Memang tidak dapat disangkal bahawa pihak kerajaan sedia memberi bantuan tetapi janganlah dibuat sebagai suatu tumpuan sahaja dan kita sendiri tidak mahu berikhtiar menolong diri kita sendiri. Kita tidak seharusnya membiarkan mereka hidup terumbang-ambing dan membiarkan nasib mereka terbiar seperti kata pepatah ‘ TIDAK TERSUDU DEK ITEK DAN TIDAK TERPATUK DEK AYAM’ jasa mereka haruslah dikenang dan pengorbanan mereka mestilah disanjung kerana itulah sifat kita orang yang berbudi bahasa.

Strategi dan matlamat kita adalah perpaduan dan penyertaan, wujud perpaduan segala kegiatan dapat diatur. Dalam usaha ini, penyertaan yang positif adalah merupakan faktor penting dan dengan cara ini juga perpaduan dapat diperkukuhkan dan menelurkan jaminan hidup yang wajar dan lebih selesa dan benar-benar merupakan suatu realiti yang unggul dan ideal. Bagi menjamin kecerahan hidup kita kecuali dengan mempunyai sifat-sifat tabah dan yakin untuk memberi sumbangan yang lebih berkesan disamping bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan mengekalkan keamanan negara tercinta walau apa pun pengorbanan yang mesti kita berikan dan itulah pilihan yang telah diambil oleh mereka yang sekarang menganggotai persatuan ini.

Pada tahun 1955, Bekas-bekas Anggota Pasukan keselamatan Malaya telah berkumpul di dalam suatu perjumpaan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di dalam Negeri Selangor dan akhirnya pada 23hb Disember 1995 lahirlah Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Malaya dan pertubuhan ini telah didaftarkan dengan rasminya.

Daya utama yang membawa kepada lahirnya pertubuhan ini adalah rakyat negara ini yang telah bersara dari perkhidmatan dalam semua cawangan pasukan bersenjata Malaya. Bilangan mereka amat banyak pengalaman mereka berbagai corak. Mereka telah menghabiskan tahun-tahun yang paling aktif dalam usia mereka berjuang mempertahankan persada ibunda dari musuh-musuh yang ingin mencemarinya. Mereka ini telah mengadaikan nyawa menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Semangat juang mereka berbagai rupa dan gaya namun matlamat mereka adalah satu. Bagi mereka yang gugur semasa Perang Dunia kedua 1941-1945, Darurat 1948-1960 dan konfrontasi 1961-1963, jasa dan perngorbanan mereka haruslah menjadi satu perangsang kepada kita hari ini untuk terus berjuang dan menentukan negara berada di dalam keadaan aman dan makmur.

Daripada sejak ianya ditubuhkan, bilangan anggota persatuan ini telah bertambah hingga sekarang ianya telah menjangkau kepada empat puluh lima ribu ahli yang menjelaskan yuran setiap tahun. Persatuan ini mempunyai lebih dua ratus cawangan di seluruh Malaysia dalam beberapa bahagian seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Seberang Prai, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah. Keahlian persatuan ini adalah menyeluruh di merata ceruk dan rantau.

Kebanyakan cawangan-cawangan terdapat di kawasan-kawasan luar bandar kerana di sana terdapat ramai ahli-ahli Bekas Pasukan Keselamatan yang amat mengharap dan memerlukan bantuan. Kebanyakan daripada mereka adalah terdiri dari warga tua yang berumur enam puluh tahun yang masih lagi mampu mengerjakan serta mengusahakan ladang dan sawah. Mereka ini seharusnya telah lama duduk berehat tetapi disebabkan kemiskinan, mereka terus bekerja untuk sesuap nasi pagi dan petang. Bagi ibu kehilangan anak, isteri yang kematian suami dan anak yang ditakdirkan menjadi yatim mereka ini terpaksa meneruskan penderitaan hidup yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Bagi mereka yang tinggal di kota dan hidup mewah di dalam keringat dan air mata serta darah pahlawan dan keluarga yang ditinggalkan pejuang dan pengorbanan mereka kita yang menikmati hidup ini belum lagi tahu akan berada di mana entah-entahkan nasib kita lebih buruk dari mereka. Oleh itu sedikit pengorbanan dari kita untuk mereka bukanlah menjadi suatu bebanan. Nasib mereka perlu diberi perhatian dan pembelaan kerana itulah amalan kita yang senang membantu yang susah dan yang kaya menolong yang miskin. Kita harus tidak melupakan apa juga yang kita nikmati adalah hasil pengorbanan orang yang telah banyak berkorban untuk kita dan dari mereka yang sanggup meninggalkan anak, isteri dan ibu bapa untuk menyahut panggilan ibunda untuk mempertahankan kedaulatan negara serta mengembalikan keamanan dan kemakmuran. Kita juga harus menyanjung ketabahan dan kesabaran ahli-ahli keluarga mereka yang menempuh dan menerima cabaran hidup menghayati keindahan alam ibu pertiwi dan menyambung kemiskinan yang diwarisi nasib malang mereka ini haruslah diberi perhatian dan pembelaan.

Pada tahun 1971, satu persidangan Perhimpunan Agung telah diadakan di bandar Seremban. Salah satu perkara penting yang dicapai dalam persidangan itu ialah menukar nama daripada Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Malaya kepada “PERSATUAN VETEREN KESELAMATAN NEGARA MALAYSIA” yang terkenal dengan nama ringkasnya ‘VETEREN’. Sungguhpun wujud dan bergiatnya VETERAN dalam masyarakat bermula dari sejak ianya ditubuhkan 34 tahun yang lampau, tetapi masih perlu lagi bagi pihaknya memperkenalkan diri dan kegiatan-kegiatan amal dan kerja-kerja sukarelawannya masih banyak belum diketahui umum. Berikut adalah tujuan-tujuan yang melahirkan badan ini yang menjadi dasar pejuang pada hari ini:-

1. Memberi taat setia ahli-ahli terhadap Negara Malaysia dan mempertahankan kedaulatan dan keamanan Negara.

2. Menyatukan seluruh VETERAN Keselamatan Negara Malaysia dan mengawal, memelihara serta mengamalkan semangat bersefahaman dan tolong menolong secara bergotong-royong bagi menjalankan kerja-kerja untuk kebaikan bersama.

3. Berikhtiar dan berusaha mengumpul wang secara halal yang akan digunakan sebagai bantuan kepada ahli-ahli biasa atau tanggu ngan mereka, balu-balu dan anak-anak yatim yang memerlukan bantuan untuk membayar yuran peperiksaan PMR, SPM, STPM, membeli pakaian seragam sekolah dan apa juga bantuan yang amat diperlukan oleh seorang pelajar.

4. Mengenalkan VETERAN kepada orang ramai badi masa ke semasa dengan tujuan meyakinkan fikiran awam untuk membantu Veteran Keselamatan Negara Malaysia terutamanya mereka yang cacat anggotasemasa bertugas mempertahankan kedaulatan dan keamanan serta ketenteraman Negara.

5. Bergabung dengan lain-lain persatuan yang sama tujuannya dengan VETERAN.

6. Mencetak atau mengeluarkan buku-buku, risalah dan rencana yang boleh mendatangkan kebaikan kepada VETERAN dan ahli-ahlinya.

7. Megembangkan semangat persahabatan dikalangan ahli-ahli dan juga antara ahli-ahlinya dengan pejuang-pejuang keamanan dan keselamatan Negara tidak membezakan samaada mereka itu dari Pasukan Tentera dan polis ataupun pasukan sukarela yang telah berkhidmat kerana mempertahankan keamanan dan ketenteraman Negara.

8. Berikhtiar dan berusaha untuk kebajikan ahli-ahli dengan jalan seperti mendapatkan pekerjaan, memiliki rumah dan tanah kerajaan, kemudahan-kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan perusahaan secara persendirian ataupun bersyarikat antara ahli-ahli dan lain-lain Kebajikan yang boleh meninggikan taraf hidup ahli-ahli.

9. Menggalakkan dan menjalankan kegiatan-kegiatan dalam bidang sukan dan kebudayaan.

10. Bekerjasama dengan lain-lain Pertubuhan Kebajikan yang sah bagi maksud menjayakan rancangan-rancangan VETERAN.

Dengan adanya tujuan-tujuan yang tersebut di atas maka dapatlah VETERAN berusaha bergerak dan bertindak dari masa ke semasa dalam banyak lapangan hidup penghidupan untuk mengambil tempat yang wajar dalam masyarakat Negara ini.

VETERAN sangat-sangat mengharapkan kemurahan hati pihak berkuasa khasnya dalam bentuk-bentuk bantuan yang diperlukan oleh anggota-anggota VETERAN yang masih hidup, masih muda tetapi daif kerana cacat atau cedera anggota ataupun kekurangan kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk meneruskan penghidupan, tetai bukan bermaksud supaya bantuan-bantuan yang diharapkan itu diberikan berterusan. Bantuan yang diharapakn itu ailah sebagai bantuan untuk membantu mereka berdikari bagi menghadapi cabaran menunaikan tanggungjawab masa kini dan masa akan datang.

Untuk pengetahuan am khususnya bagi ahli-ahli VETERAN , pertubuhan ini tidak pernah berdiam diri daripada menjalankan setiap pihak dan mencungkil setiap peluang yang boleh mendatangkan atau membuka sesuatu jalan bagi melaksanakan rancangan-rancangan ekonomi sesuai dengan galakkan dan kemudahan yang diberi dan disediakan oleh kerajaan.

Untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan ini kerjasama dari semua pihak kerajaan, ahli-ahli dan pegawai persatuan amatlah diperlukan. Dengan adanya kerjasama ini akan menentukan hasrat rakyat dan kezaman kerajaan yang ingin melihat rakyat hidup mewah dalam negara yang makmur dan tercapai dalam masa yang singkat.

Dengan adanya latar belakang yang penuh dengan kisah-kisah sedih, pedih, cacat dan cedera, hidup dan mati,tangisan serta lain-lain pengorbanan yang telah diberikan oleh ahli-ahli VETERAN dan keluarga mereka sepanjang masa Negara ini diancam oleh Komunis dan lain-lain anasir nasional, maka sudah sewajarnya bagi kerajaan mengiktiraf VETERAN sebagai satu pertubuhan yang halal dan layak menerima pengakuan untuk diberi bantuan kebajikan serta diberi layanan istimewa kepada ahli-ahlinya barang bila terbuka peluang-peluang kerja dimana-mana sahaja di negara ini menerima penyertaan Veteran dalam urusan–urusan mengutip dan memperuntukkan sebahagian daripadanya untuk ahli-ahli Veteran mengiktirafkan penyertaan di dalam semua perayaan Peringkat Negeri dan Negara seperti perayaan-perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan dan yang lain-lain yang seumpamanya, dan akhir sekali memberi tempat sama ada di peringkat Negeri atau Negara untuk turut serta dalam Perbadanan-perbadanan atau jawatan-jawatan kuasa yang ada hubungannya dengan Hal Ehwal bekas anggota semua cawangan Angkatan Bersenjata.

Penubuhan persatuan ini juga adalah bertujuan membolehkan mereka menikmati kekayaan negara demi kepentingan masa depan mereka. Persatuan ini juga adalah menjadi perantaraan penyambung lidah di antara ahli-ahli dengan agensi-agensi kerajaan.

Sebagai kenangan sejarah, persatuan ini merakamkan penghargaan kepada satu ketika bila persatuan ini ada menerima sebidang Tanah Kerajaan Negeri Perak dan juga ada menerima sumbangan dari hasil Rayuan Bunga Popi, malangnya bantuan itu telah dihentikan pada tahun 70-an.

Persatuan ini menjunjung kasih kepada KDYMM Almarhum Tuanku abdul Rahman, Almarhum Tuanku Hishmuddin, Almarhum Sultan Idris Shah, dan Almarhum Raja Shiffudin, Raja Muda Perak yang telah perkenan menjadi penaung diraja kepada persatuan ini semenjak dari tarikh ianya ditubuhkan sehinggalah kepada masa Almarhum DYTM Raja Muda Perak Raja Ahmad Shariffudin. Pada Disember 1992, persatuan juga menjujung kasih kepada KDYMM Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang telah perkenan menjadi penaung diraja kepada persatuan ini sehingga sekarang. Persatuan ini juga merakapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Amat Mulia Allahyarham Tun Abdul Razak Bin Dato’ Hussain, Yang Amat Berhormat Tun Hussain Onn, Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahatir Bin Mohamad, Yang Amat Berhormat Tan Seri Dato’ Seri Haji Ramli Bin Ngah Talib, Yang Amat Berhormat En. Lim Chong Eu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Joseph Pairin Kitingan dan Yang Berhormat Dato’ Alexander Lee Yu Lung. Persatuan ini juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menyanjung tinggi khidmat dan jasa-jasa yang amat berhormat Dato’ Haji Mohamad Arshad Bin Abdullah yang telah sudi menjadi penasihat kepada persatuan ini.

Persatuan ini juga tidak lupa merakamkan penghargaan kepada beberapa orang pemimpin Persatuan masa lampau dan mereka terdiri daripada Allahyarham Datuk Abu Bakar Bin Baginda, Allahyarham En. Mohamad Noor bin Mohamad, Tuan Haji Ali Raya, Colonel (B) Haji Yeop Mohideen, En.Mohd.Rashid Bin Mohamad, Dato’Haji Ahmad Razali Bin Haji Ali, Allahyaraham Tuan Haji Sulaiman Bin Bulon, Allahyarham Toh Johan Pahlawan Haji Tanchek Bin Mat Yatim dan banyak lagi nama-nama yang seharusnya dirakamkan tetapi ianya tidak dapat dilakukan disebabkan kita telah kehilangan banyak dokumen-dokumen dan rekod-rekod, walaubagaimanapun persatuan ini tetap menghargai jasa-jasa mereka.

Persatuan ini dalam usaha-usaha untuk berbakti kepada kebajikan ahli-ahlinya yang memerlukan bantuan. Dengan sebab kebanyakan dari ahli-ahli persatuan ini yang terdiri daripada petani-petani miskin semasa darurat diisytiharkan dalam tahun 1948 maka sehingga kehari ini mereka mewarisi kemiskinan yang sedia ada dan diwarisi pula oleh keluarga yang mereka tinggalkan akibat dari pengorbanan mereka untuk menegak keadilan mempertahankan kedaulatan negara, maruah dan bangsa. Pada tahun lima puluhan dan enam puluhan persatuan inilah sahaja harapan mereka dan persatuan ini dapat berbangga dengan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai selama ini dalam usaha-usaha menjaga kepentingan ahli-ahli dan ini termasuklah kepentingan dan kebajikan keluarga-keluarga ahli seperti balu-balu dan anak-anak yatim. Pada mulanya persatuan ini ada menerima sumbangan daripada jawatankuasa Rayuan Bunga Poppy malangnya selepas beberapa tahun bila mana Rayuan Bunga Poppy ditukarkan kepada Rayuan Hari Pahlawan sumbangan itu pun dihentikan tanpa sebarang sebab. Persatuan ini telah diketepikan disebabkan kerajaan telah gagal menempatkan persatuan ini diwakili dalam Majlis Rayuan Hari Pahlawan. Namun begitu, persatuan ini masih gigih berdiri ditengah-tengah masyarakat dengan adanya sokongan daripada mereka yang bersimpati dengan perjuangan persatuan ini dalam usaha-usaha mengendalikan dan memberi bantuan kepada ahli-ahli persatuan dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan. Semoga sumbangan ikhlas yang telah dihulurkan oleh masyarakat kepada persatuan ini akan terus berkekalan dan dengan itu dapatlah persatuan ini telah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Pencapaian persatuan ini ketahap yang ada adalah disebabkan keikhlasan Anggota-anggota Majlis Kerja Tertinggi dan juga pemimpin-pemimpin diperingkat Bahagian dan Cawangan yang bekerja dengan penuh semangat dan dedikasi serta mempunyai sifat-sifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai pegawai persatuan ini.

Kami yang diberi mandat mentadbir persatuan ini dengan rela dan senang hati member khidmat kepada ahli-ahli kami yang memerlukan bantuan dan pertolongan kalau setakat khidmat biasa maka kami akan laksanakan dan kiranya bantuan yang dikehendaki merupakan wang ringgit maka kami tidak segan silu menadah tangan merayu ihsan daripada para hartawan dan dermawan untuk menghulurkan derma ikhlas kepada kami untuk disampaikan kepada ahli-ahli kami yang memerlukan bantuan.

Kami berbangga bahawa kami telah berjaya menyampaikan bantuan yang disumbangkan kepada kami untuk bantuan dua orang anak ahli Persatuan ini mendapatkan rawatan pembedahan jantung berlubang di Manila dan Australia,. Kami juga berjaya mendapatkan kaki palsu, kerusi roda kepada ahli-ahli kami yang memerlukan dan membantu ahli-ahli. Mereka semua memerlukan perhatian dan bantuan. Nasib mereka harus diberi perhatian oleh persatuan ini kerana matlamat utama persatuan ini ditubuhkan adalah semata-mata untuk kepentingan ahli-ahli kami yang miskin dan membantu balu-balu dan anak-anak yatim yang kehilangan kasih saying dari suami tercinta dan ayah yang disayangi dan kasihi yang telah gugur dan cedera di medan perjuangan. Nasib yang menimpa mereka haruslah diberi pembelaan dan masyarakat yang menikmati kemewahan akibat keringat dan darah yang mengalir dipersada ibunda haruslah menunjukkan simpati dan jasa-jasa mereka haruslah dikenang kerana jasa mereka bukanlah dapat diukur dengan wang ringgit. Ingatan yang ikhlas dan kenangan kita kepada jasa-jasa dan pergorbanan mereka serta sumbangan ikhlas dari kita adalah membuktikan perhargaan dan terima kasih kita kepada pengorbanan dan jasa-jasa yang telah mereka berikan.

Generasi yang ada pada hari ini adalah berhutang nyawa kepada mereka, oleh itu sedikit pengorbanan yang kita berikan untuk keperluan mereka tidak seharusnya membebankan kita semua. Kalau dibandingkan dengan pengorbanan mereka terhadap keselesaan hidup kita sekarang dapat menikmati dan mengecapi kekayaan negara maka sumbangan yang kita berikan adalah tidak menjejaskan kepentingan hidup kita. Sebaliknya kita dapat membuktikan bahawa kita tetap bersimpati dengan nasib dan cara hidup mereka. Dengan adanya sumbangan yang berpanjangan dari para dermawan dan hartawan mereka. Persatuan ini dapat melaksanakan tugas dan janji untuk memberi bantuan dan perlindungan kepada ahli-ahli persatuan sejajar dengan kehendak dan dasar persatuan ini untuk membela nasib ahli-ahli kami yang hidup menderita dan miskin diceruk kampung dan desa diseluruh negara. Kami amat berterima kasih di atas simpati dan rasa tanggungjawab yang telah diberi dan juga semangat setiakawan yang telag diitunjukkan oleh para dermawan dan hartawan yang telah menderma dengan ikhlas kepada tujuan suci kami dengan itu kami dapat memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas kami.

Pada 23 Oktober 1999, persatuan ini telah mendapat kelulusan untuk meminda undang-undang Tubuh Persatuan dan juga pindaan Nama Persatuan yang mana Persatuan kini dikenali dengan nama “PERSATUAN BEKAS-BEKAS PASUKAN KESELAMATAN NEGARA MALAYSIA” dengan adanya nama baru ini maka lebih mudah lagi masyarakat mengenali Persatuan ini sejajar dengan tujuan asal penubuhan Persatuan untuk mengumpul keseluruhan bekas-bekas anggota Keselamatan Negara dan Pejuang-pejuang Tanahair bagi membela nasib mereka dan keluarga.